Lelaki elak langgar lori terkorban selepas terjatuh dan dirempuh Toyota Hilux

Keadaan di lokasi kemalangan.

Oleh Dean Adam

SERIAN, Jan 16: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM4, Jalan Serian-Tebedu di sini petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu mengakibatkan mangsa, Melvi William, 22, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepalanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt, Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan tiga buah kenderaan.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa dikatakan tercampak jatuh dari motosikal selepas cuba mengelak daripada merempuh belakang sebuah lori dari arah Tebedu ke Serian.

“Malangnya, mangsa yang terjatuh di laluan bertentangan telah dirempuh sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

“Kesan perlanggaran itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepalanya,” katanya di sini malam ini.

Alexson menambah, kedua-dua pemandu kenderaan terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily