UiTM Sarawak bakal menjalankan penyelidikan penanaman buah strawberi musim panas Korea

Jamil (dua dari kanan) menjolok buah rambutan ketika menghadiri acara "Pluck dan Pack" Rambutan di ladang UiTM Sarawak Kampus Samarahan.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Jan 8: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak akan mula menjalankan penyelidikan mengenai penanaman pokok buah strawberi musim panas Korea di ladang kampusnya di sini pada tahun ini.

Rektor UiTM Sarawak, Professor Dato Dr Jamil Hamali mendedahkan pihaknya sudah dua kali mengadakan perbincangan dengan satu syarikat Korea bagi mereka bersama memulakan penyelidikan terbabit mengunakan rumah hijau di ladang universiti itu tidak lama lagi.

“Kami akan menjalankan penyelidikan itu dengan mengunakan teknologi perladangan pintar bersama syarikat Korea itu bagi melihat bagaimana (pokok buah) strawberi jenis ini dapat ditanam (di negeri ini) dalam rumah hijau yang cuacanya boleh dikawal,” katanya ketika menghadiri acara “Pluck dan Pack” Rambutan di ladang UiTM Sarawak Kampus Samarahan, di sini, hari ini.

Advertisement

Acara “Pluck dan Pack” Rambutan tersebut akan berlangsung sehingga Januari 11 bagi membolehkan orang ramai mengunjungi dan menikmati buah rambutan yang sudah masak di ladang universiti itu iaitu dari jenis R191 Anak Sekolah, R156 Muar Gading and R3 Gula Batu.

Jamil berkata dalam kerjasama itu nanti syarikat Korea terlibat akan membekalkan benih pokok strawberi musim panas Korea dan juga menyediakan alat bagi mengawal suhu cuaca di premis rumah hijau yang ada berhampiran pintu masuk ladang UiTM Sarawak, kampus Samarahan.

“Di negara Korea mereka menanam pokok strawberi terbabit ketika musim panas sahaja dimana suhunya tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk dan syarikat terbabit menawarkan kami kerjasama penyelidikan berkenaan dan kami menerima cabaran itu,” katanya.

UiTM Sarawak Kampus Samarahan ketika ini mampu menjalankan penyelidikan itu kerana mempunyai kemudahan rumah hijau dan kawasan ladang sehingga seluas 16 hektar yang ketika ini ditanam oleh pelajar jurusan perladangan universiti terbabit dengan sekitar 16 jenis pokok buah-buahan.

Jamil (tengah) melihat buah rambutan yang mula dipetik orang ramai di acara “Pluck dan Pack” Rambutan di ladang UiTM Sarawak Kampus Samarahan.

Disamping itu, pokok strawberi musim panas Korea tersebut juga mengeluarkan buah yang amat mahal harganya di pasaran dan buahnya juga gred B yang saiznya jauh lebih besar berbanding buah dari pokok strawberi yang banyak ditanam di Australia.

“Jadi melalui penyelidikan bersama syarikat ini, selepas ini Sarawak mungkin boleh menjadi pengeksport bagi buah strawberi musim panas Korea malahan akan menampung permintaan buah strawberi di Malaysia yang selama ini perlu mengimport (untuk memenuhi permintaan),” katanya.

Jamil berkata universiti itu mungkin akan pertama menjalankan penyelidikan itu di negeri ini tetapi bukan yang pertama menanam buah strawberi kerana dimaklumkan sudah ada pihak menanam buah tersebut di Gunung Serapi di Matang dan pihaknya belum mengunjungi ladang terbabit bagi mengesahkannya dan mengenalpasti benih pokok strawberi ditanam disana.

Beliau berkata selain menanam pokok strawberi, universiti itu juga bercadang membuka ladang kampus Samarahan bagi dikunjungi pelajar institusi pendidikan dari luar negara bagi mendedahkan mereka kepada aktiviti perladangan di negara ini serta mendorong pelajar jurusan pengurusan herbanya mula mengeksport bahan herba dari negeri ini kepada syarikat farmaseutikal terkemuka dunia. — DayakDaily

Advertisement