Kerajaan serius bantu penduduk tiada dokumen pengenalan diri

Henry (duduk, lima kiri) berdialog dengan penduduk kampung.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Jan 8: Kerajaan menerusi jabatan berkaitan sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah penduduk yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di negeri ini.

Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong berkata, beliau amat memandang serius masalah ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan di kawasan Lawas Damit dekat sini.

Jelasnya, pelbagai usaha dan tindakan telah dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam mengatasi masalah itu.

“Pelbagai program antaranya MyDaftar juga telah dilaksanakan meliputi kawasan bandar dan luar bandar.

“Selain itu, program operasi bergerak turut menjalankan operasi MyDaftar menumpukan kawasan pedalaman,” katanya semasa melakukan lawatan kerja di Dewan Kampung Long Tuma di sini semalam.

Henry menambah, JPN turut melakukan program turun padang untuk memberi penerangan dan khidmat nasihat mengenai proses pendaftaran dokumen pengenalan diri.

Sementara itu, beliau memberitahu, 10 buah kampung di kawasan berkenaan akan menerima geran peruntukan sebanyak RM15,000 melalui akaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). — DayakDaily