UiTM Cawangan Sarawak adakan lawatan sambil belajar ke Taiwan

Rombongan UiTM Cawangan Sarawak merakamkan gambar kenangan.

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Jan 30: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Sheng-Diao Aquatic Technology yang terletak di Wilayah Pingtong, Selatan Taiwan, baru-baru ini.

Rombongan lawatan itu telah diketuai oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Dato Profesor Dr Jamil Hamali serta Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Jaringan Industri), Prof Madya Dr Abang Zainoren Abang Abdurahman.

UiTM Cawangan Sarawak dalam satu kenyataan media memberitahu, di samping itu, lawatan berkenaan juga turut disertai oleh beberapa orang pensyarah daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia, Fakulti Sains Gunaan dan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi.

Katanya, sejajar dengan perkembangan semasa terutamanya dalam aspek Revolusi Industri 4.0, lawatan ke Sheng-Diao Aquatic Technology, Taiwan telah memberikan satu gambaran sebenar dalam mewujudkan bidang pertanian yang berdaya saing dan mapan terutamanya dalam menghadapi cabaran kos pengeluaran yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Rombongan peserta lawatan juga telah didedahkan dengan sistem fasiliti akuakultur pintar yang melibatkan sistem automasi makanan ikan, kawalan kualiti persekitaran akuatik secara masa nyata serta alat pengudaraan boleh alih terkini yang menggunakan putaran secara berkala.

“Penggunaan meluas sistem akuakultur pintar di Sheng-Diao Aquatic Technology, Taiwan ini telah mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan produktiviti dan keberkesanan sistem penternakan ikan tilapia serta mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik,” kata UiTM Cawangan Sarawak, hari ini.

Di samping itu kata UiTM, dengan penggunaan sistem terkini ini, Sheng-Diao Aquatic Technology telah berjaya mengurangkan jumlah pekerja daripada 10 pekerja kepada hanya seorang pekerja sahaja jika dibandingkan keadaan semasa sepuluh tahun dahulu.

Lawatan ke Sheng-Diao Aquatic Technology itu diyakini membuka lembaran baharu dalam jaringan industri akuakultur pintar diantara negara Malaysia dan Taiwan.

Dengan penawaran program baharu Diploma Akuakultur (AT117) di Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, UiTM Cawangan Sarawak Kampus Mukah, lawatan ini membuka peluang kepada jaringan dengan negara luar seperti program penempatan latihan indusri pelajar di bawah agensi yang mempelopori teknologi baharu sistem akuakultur pintar.

Oleh itu, UiTM Sarawak sangat berbesar hati untuk memperluaskan penggunaan teknologi akuakultur pintar dalam melonjakkan pengeluaran industri perikanan negara. — DayakDaily