Uggah: Salcra dapatkan khidmat Sime Darby tingkatkan pengeluaran minyak sawit

Uggah (tengah) menyerahkan bendera GPS kepada salah seorang tuai rumah pada Pelancaran Jerayawara GPS di lempaong Anyut, Betong.
Advertisement

KUCHING, 9 Mac: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra) akan mendapatkan bantuan kepakaran Sime Darby untuk menambah pengeluaran minyak sawitnya.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata satu pasukan dari Sime Darby akan membuat siasatan berhubung kegagalan Salcra mencapai sasaran pengeluaran yang telah ditetapkan.

“Saya tahu Salcra menghadapi masalah, oleh itu saya berharap Sime Darby boleh membantu menyelesaikan masalah ini dan seterusnya mencadangkan kaedah yang boleh membawa kebaikan kepada semua pemilik tanah.

Advertisement

“Saya juga berharap semua pihak akan memberi kerjasama sepenuhnya,” kata Uggah pada Pelancaran Jerayawara Gabungan Parti Sarawak (GPS) DUN Bukit Saban di Rh Entrie Tabakang, Lempaong Anyut, di Betong kelmarin.

Turut hadir MP Betong, Datuk Robert Lawson Chuat.

Salcra, pada bulan Januari tahun lepas, telah memeterai usaha sama
dengan Sime Darby untuk membentuk rangka kerja kolaboratif mengukuh dan menggalakkan kerjasama komersial di sepanjang rantaian minyak sawit.

Usaha sama itu bertujuan meningkatkan standard industri minyak sawit
Sarawak dari segi kecekapan operasi dan produktiviti menerusi amalan
agronomi.

Dengan wujud usaha sama itu, Uggah yakin pemilik tanah yang terlibat
di dalam projek tanaman kelapa sawit Salcra yang baharu akan mendapat manfaat.

“Tetapi saya ingin menggesa mereka untuk tidak menjual tanah untuk
keuntungan segera,” tegas beliau.

Berhubung Jerayawara GPS yang diadakan, Uggah berkata ia adalah
sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Menurut beliau, rakyat khususnya golongan tua di luar bandar harus
diberi penerangan bahawa kerajaan negeri sudah tidak bersama Barisan
Nasional (BN) lagi tetapi telah membentuk satu entiti iaitu GPS.

“Kita ingin memaklumkan kepada mereka bahawa ada simbol kenyalang di bawah huruf besar GPS yang berkemungkinan besar akan digunakan pada kertas undi nanti,” katanya. — DayakDaily

Advertisement