BAU, Mei 6: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan tanah hak adat (NCR) masyarakat kaum Bidayuh yang sudah disukat dan disurvei Pertubuhan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) supaya segera dikeluarkan surat hak milik tanah.
Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah berkata demikian dengan pihaknya ketika ini sedang berusaha mempercepatkan proses pengeluaran surat hak milik tanah terbabit seperti diarahkan Ketua Menteri.
“Ketua Menteri meminta saya mempengerusikan satu jawatankuasa baru-baru ini bagi memastikan tanah yang telah disukat DBNA diketuai presidennya Datuk Ik Pahon Joyik untuk dikeluarkan surat hak milik tanah. Ketua Menteri juga telah mengarahkan supaya prosesnya dipercepatkan lagi,” katanya ketika merasmikan Majlis Penangguhan Bau Gawai Sale 2018 di Dataran Bau, Pekan Bau, di sini, semalam.
Di majlis itu Douglas yang juga Pengerusi Unit Bagi Lain-Lain Agama di Pejabat Ketua Menteri juga memberi sumbangan bagi pihak kerajaan negeri sebanyak RM1 juta kepada gereja kawasan kaum Bidayuh sekitar Bau serta peruntukan RM30,000 kepada penganjuran Bau Gawai Sale 2018.
Majlis terbabit turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Jinep dan calon BN Parlimen Mas Gading, Datuk Anthony Nogeh Gumbek.
Uggah berkata ketika ini tidak ada sebarang masalah besar lagi bagi pihaknya memproses pengeluaran surat hak milik tanah yang sudah disukat DBNA kerana ada sokongan politik dari Ketua Menteri yang sememangnya bersungguh mahu menyelesaikan masalah tanah NCR di negeri ini.
“Saya percaya (Henry) sendiri sudah menyaksikan bagaimana Ketua Menteri bersugguh menyelesaikan masalah tanah di Singai baru-baru ini. Ada masalah tanah sedikit di sana dan Ketua Menteri memutuskan menyelesaikannya dengan memberikan semula tanah itu kepada masyarakat (kaum Bidayuh) di Singai,” katanya.
Ini berikutan Henry di majlis terbabit juga memohon kerajaan negeri mempertimbangkan sewajarnya permintaan penduduk kawasan Bau bagi mengeluarkan surat milik tanah NCR kepada mereka.
Uggah tidak mendedahkan butiran keluasan tanah NCR kaum Bidayuh yang sudah disukat dan survei DBNA di negeri ini tetapi menjelaskan tanah NCR lain juga akan disukat Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak dibawah Seksyen 6 dan Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
Katanya ketika ini keseluruhannya terdapat 1.2 juta hektar tanah NCR di seluruh negeri ini dengan 855,000 hektar telahpun disurvei dan dari jumlah itu 650,000 hektar telah diwartakan bagi dikeluarkan surat hak milik.
“Bagi kita Bumiputera, tanah adalah aset amat penting. Ia umpama hidup kita dan dengan itu kita mahu mempertahankannya dan kerajaan akan sentiasa di belakang kamu (Bumiputera di Sarawak) bagi memastikan kita tidak kehilangan tanah terbabit,” katanya.
Berikutan itu bagi isu tanah NCR “Pemakai Menoa dan Pulau Galau” kerajaan negeri telah berjanji yang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Julai depan, pindaan berkaitan keatas Kanun Tanah Negeri akan dibentangkan.
“Saya pengerusi jawatankuasa berkaitan dan saya boleh memberikan jaminan yang perkara terbabit sudah diperingkat akhir iaitu seperti membuat rumah baru dengan tiang, bumbung, lantai sudah dibina,” katanya.
Ketika ini pindaan terhadap Kanun Tanah Negeri terbabit cuma perlu memperincikan beberapa isu penting yang perlu dihalusi sebelum kerajaan negeri membentangkannya di persidangan DUN Julai depan, tambah beliau. — DayakDaily