Uggah: Penduduk rumah panjang mesti kekal bersatu untuk pastikan kelangsungan pembangunan

Uggah (duduk barisan depan, enam dari kiri) merakamkan gambar bersama penduduk Rumah Panjang Benang Pilang, Sungai Bakas Atas, Bakong.

BAKONG, Mac 19: Penduduk di rumah panjang di negeri ini perlu kekal bersatu dan bersatu hati dalam memastikan kelangsungan kemajuan serta pembangunan di penempatan mereka.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keraajan masa kini sentiasa mengutamakan rancangan serta proses pembangunan di kawasan luar bandar sebagai pemangkin kelangsungan ekonomi desa pada masa hadapan.

Menurut beliau, menerusi pelan perancangan strategik, proses pemba­ngunan di luar bandar mampu memberi nilai tambah untuk warganya sekali gus merapatkan jurang kemajuan an­­tara kawasan bandar dan luar bandar.


“Kerajaan juga sentiasa kekal fokus dan komited bagi menjadikan kawasan luar bandar sebagai kawasan baru pertumbuhan ekonomi yang mapan.

“Justeru rakyat sewajarnya bersyukur kerana kerajaan sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan serta kehidupan rakyat terutama di luar bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Rumah Panjang Benang Pilang, Sungai Bakas Atas di sini semalam.

Dalam majlis sama, Uggah turut memaklumkan berkenaan status pengiktirafan Pulau Galau dan Pemakai Menua di dalam undang-undang tanah negeri.

Katanya, potensi bidang pertanian moden juga mampu menjana ekonomi penduduk rumah panjang.

“Saya juga ingin menyangkal khabar angin dan fitnah yang mengatakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengambil alih kerusi Parlimen Baram.

“Saya turut memberi jaminan bahawa kerusi Parlimen Baram akan kekal milik Parti Demokratik Progresif (PDP),” tegas Uggah.

Sementara itu, beliau telah mengumumkan sumbangan MRP berjumlah RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Benang Pilang dan RM10,000 kepada Biro Wanita Rumah Panjang Benang Pilang. — DayakDaily