Uggah: MIPD fokus kepada projek sakit

Uggah (dua dari kanan) menerima dokumen tugas dari Julaihi (tiga kanan) yang merupakan Mantan Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 18 Jan: Kementerian Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) akan memberi fokus kepada projek-projek sakit dan memastikan ia kembali kepada landasan asal.

Menterinya yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, jalan penyelesaian kepada projek-projek sakit ini harus segera dicari.

Katanya, ia penting untuk memenuhi kehendak rakyat dan harapan kerajaan.


“Kementerian akan melaksanakan apa yang telah dirancang sebelum ini tetapi kita fokus kepada projek sakit yang tergendala.

“Kita harus segera mencari jalan penyelesaian untuk memastikan projek-projek ini kembali ke jadual asal,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Menteri Dan Menteri Muda di sini, hari ini.

Tambah Uggah, kementerian juga meneliti berhubung pembangunan pelabuhan-pelabuhan di negeri ini.

Katanya, kajian untuk membawa pelabuhan maju ke hadapan merupakan salah satu lagi fokus MIPD.

“Semua program ini bertepatan dengan polisi untuk menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030.

“Kementerian ingin memastikan semua tanggungjawab dilaksanakan dengan baik dan paling penting ialah memastikan semua infrastruktur disiapkan mengikut jadual yang akhirnya nanti menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” ujar beliau.

Untuk mencapai matlamat itu tambah Uggah, kementerian akan menggunakan teknologi baru, inovasi dan modenisasi.

Turut hadir Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Ir Aidel Lariwoo dan Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi. — DayakDaily