TYT terima kunjungan hormat dari Kuching Skills College

Wan Junaidi (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Novert semasa kunjungan hormat tersebut. Turut kelihatan isteri Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi (kanan). Foto: Ukas

Oleh DayakDaily Team

KUCHING, 1 April: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Kuching Skills College di Astana Negeri.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), rombongan tersebut telah diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuching Skills College, Novert Sullang Douglas.


Kunjungan tersebut bertujuan untuk memberi taklimat mengenai perkembangan terkini kolej berkenaan.

“Kami memberikan fokus utama dalam bidang TVET khususnya seni kulinari, di mana Tun Pehin Sri (Dr) Wan Junaidi mempunyai minat dalam seni kulinari.

“Selain itu juga, kami fokus kepada teknologi dron dan seterusnya mendengar pandangan dan pesanan daripada Tun Pehin Sri (Dr) Wan Junaidi mengenai hala tuju Sarawak,” kata Novert semasa ditemui selesai kunjungan hormat berkenaan.

Tambah Novert, Wan Junaidi turut memberikan nasihat agar kolej tersebut menjadi lebih aktif di masa akan datang.

“Tun Pehin Sri (Dr) Wan Junaidi berpesan agar kita sama-sama membantu para belia di Sarawak khususnya daripada kawasan luar bandar,” ujarnya. — DayakDaily