KUCHING, Mac 29: Tujuh tukang urut warga China cemas selepas sebuah premis refleksologi di Jalan Cana, Tabuan Jaya di sini terbakar, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.25 pagi itu, kesemua wanita terbabit berjaya keluar menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 6.26 pagi.
Katanya, sejurus menerima maklumat kejadian, sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah pusat urut di tingkat 1 di situ telah terbakar kira-kira 50 peratus.
“Pasukan bomba kemudian bertindak melakukan kerja-kerja pemadaman bagi mengelak api merebak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Tiong, buat masa ini pihak bomba masih melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ di lokasi kejadian.
Jelasnya, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran berkenaan.
“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian,” ujarnya lagi. — DayakDaily