Oleh Dean Adam
BINTULU, Okt 15: Sebanyak tujuh buah rumah di Kampung Pisang di Jalan Persisiran Bintulu musnah terbakar 100 peratus dalam satu kejadian kebakaran lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.38 malam itu, seorang wanita dilaporkan mengalami lecur akibat kebakaran berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 6.40 petang.
Jelasnya, sejurus itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah di kawasan berkenaan.
“Operasi memadamkan kebakaran itu telah terkawal pada pukul 7.13 malam. Pasukan bomba terpaksa menggunakan sumber air terbuka di lokasi, bantuan ‘water tanker’ kerana tiada pili bomba di situ,” katanya di sini hari ini.
Tiong menambah, semasa operasi tersebut anggota bomba telah menggunakan 20 gulung hos untuk sampai ke lokasi rumah terbakar.
Katanya, jentera ‘water tanker’ tidak dapat masuk ke kawasan lokasi memandangkan jalan sempit, tanah becak dan cuaca hujan.
“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian akibat kejadian itu,” katanya. — DayakDaily