Tujuh lelaki di tangkap di Pakan, disyaki terlibat judi sabung ayam

Tujuh lelaki di Pakan di tangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti judi sabung ayam.

KUCHING, 3 Okt: Tujuh lelaki berbangsa Iban di Pakan di tangkap pihak polis kerana disyaki terlibat di dalam aktiviti perjudian sabung ayam pada Ahad (1 Okt) lepas.

Ketua Polis Julau DSP Andam Sulin dalam satu kenyataan hari ini berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 3 petang di kawasan tanah lapang di ladang sawit di Pakan.

Ketujuh-tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 29 hingga 83 tahun.


“Apabila polis sampai di kawasan kejadian, sekumpulan orang yang menyedari kehadiran polis telah lari ke kawasan hutan berhampiran.

“Namun polis berjaya menangkap tujuh lelaki,” katanya.

Tambah Andam, hasil serbuan polis turut merampas tiga ekor ayam mati, alat penimbang, papan tertulis jadual pertaruhan, sebilah taji dan wang tunai berjumlah RM144.

Tangkapan dan rampasan disiasat dibawah Seksyen (73)(1)(g) Ordinan Kesihatan Veterinar 1999.

Jika sabit kesalahan, kesemua suspek boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali. ā€” DayakDaily