Tujuh ditangkap, dadah bernilai RM678,556 dirampas di Kuching dan Miri

Mohd Azman menunjukkan dadah yang dirampas.
Advertisement

KUCHING, 22 Mei: Seramai tujuh individu ditangkap dan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM678,556 dirampas dalam tiga operasi berasingan di Kuching dan Miri baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata operasi dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak dari 19 hingga 21 Mei.

Katanya kesemua suspek, termasuk seorang wanita merupakan warga tempatan berusia lingkungan 22 hingga 39 tahun.

Advertisement

“Operasi pertama dilakukan pada 19 Mei sekitar jam 10.45 pagi dan dua lelaki berusia 32 dan 34 tahun telah ditangkap di sebuah pusat hiburan di Jalan Calliandra, Miri bersama dadah dianggarkan bernilai RM249,505.

“Dadah yang dirampas adalah pil erimin 5 sebanyak 120 biji (33.9 gram) ketamin 72 paket (56.3 gram), pil ekstasi 338 biji (133.1 gram) dan campuran serbuk ekstasi dan jus – 2,959 gram, serbuk ekstasi 1,724.8 gram,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Manakala operasi kedua pula, katanya pada 19 Mei 2023 jam 1.15 petang, sepasukan polis telah menangkap seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah pusat hiburan, di Bandar Baru Permyjaya, Miri.

“Dalam operasi ini, pasukan kita telah merampas dadah bernilai RM57,765.00 iaitu pil erimin 5-10 biji (2.8 gram), ketamin 12.1 gram, campuran serbuk ekstasi dan jus 1,084.2 gram, pil ekstasi 105 biji (44.3 gram),” katanya.

Dalam operasi ketiga pada 20 Mei 2023, sekitar jam 11.35 malam, pasukan operasi telah menangkap seorang lelaki berusia 39 tahun dan seorang perempuan berusia 31 tahun di tepi jalan berhadapan balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

“Dalam operasi ini, sebanyak 10,301 gram dadah syabu serta 2.7 gram ketamin yang dianggarkan bernilai RM371,286 dirampas,” katanya.

Susulan itu juga, pada 21 Mei 2023, jam 2 pagi bertempat di sebuah hotel di Puchong, Selangor, yang mana dua orang lagi ahli sindiket telah ditangkap untuk membantu siasatan.

Kesemua suspek ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya(ADB) 1952 yang memperuntukan hukuman mati atau hukuman seumur hidup dengan sebatan.

Sementara itu, pasukan operasi juga turut menyita beberapa jenis kenderaan dan merampas wang tunai daripada suspek untuk siasatan di bawah Seksyen 25 ADB( Perlucuthakan Harta) 1988.

“PDRM akan terus membanteras habis-habisan kegiatan pengedaran dadah dengan penguatkuasaan yang lebih berkesan dan profesional.

“Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyampaikan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya. — DayakDaily

Advertisement