TUDM berjaya menghantar bekalan makanan asas ke 13 kawasan pedalaman Sarawak dalam 5 hari

Sebanyak 19 sortie penerbangan dengan muatan 63,723 lbs telah dilaksanakan oleh TUDM dalam menjayakan misi penghantaran bekalan makanan asas ke 13 kawasan terlibat.

KUCHING, April 9: Walaupun terpaksa mengharungi cabaran cuaca yang tidak menentu serta kawasan yang bergunung, juruterbang serta anak kapal Helikopter EC 725AP Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berjaya melaksanakan penghantaran ke 13 kawasan pedalaman Sarawak yang memerlukan bantuan bekalan makanan asas dalam tempoh lima hari.

Menurut kenyataan akhbar TUDM, untuk misi terakhir hari ini, tiga penerbangan yang membawa bekalan makanan asas dari Lapangan Terbang Miri telah dihantar ke tiga kawasan pedalaman iaitu di Long Akah, Long Sobeng dan Long Aton.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 19 sortie penerbangan dengan muatan 63,723 lbs telah dilaksanakan oleh TUDM dalam menjayakan misi penghantaran bekalan makanan asas ke 13 kawasan terlibat iaitu Bario, Long Sait, Long Lellang, Long Sobeng, Long Aton, Long Loyang, Long Akah, Long Anap, Apau Nyaring, Long Palai, Long Apu, Patik dan Bai Lai.”


Program penghantaran bekalan makanan ini merupakan program kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kerajaan Sarawak dalam memastikan agar masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak terus terbela di samping mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan.

Khidmat TUDM diperlukan di dalam mendepani cabaran krisis kesihatan dunia akibat Covid-19 khususnya penghantaran melalui jalan udara akibat kesukaran untuk melalui jalan darat agar bantuan dapat disalurkan dengan segera.

Kenyataan tersebut juga mengucap tahniah dan syabas kepada dua set kru anak kapal Helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan yang terlibat menjayakan misi berterusan sepanjang lima hari bermula April 5 lalu.

Set kru pertama telah diketuai oleh Lt Kol Vachiral Ratanaphan Ban Teang TUDM, dibantu oleh pembantu juruterbang Kapt Mohd Firdaus Anual TUDM dan Kuartermaster Udara Sjn U Jacy Wharton Astillero.

Manakala set kru kedua telah diketuai oleh Mej Frezal Raynol @ Zainal TUDM serta dibantu oleh pembantu juruterbang Kapt Syahir Jaafar TUDM dan Kuartermaster Udara, PW U II Sunerie Sugang.—DayakDaily

Program penghantaran bekalan makanan ini merupakan program kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kerajaan Sarawak.