TUDM bantu hantar bekalan makanan ke dua rumah panjang di Bintulu

Penghantaran bekalan makanan dan keperluan asas ke dua rumah panjang di Bintulu yang dilaksana TUDM mengguna helikopter EC 725 AP dari No. 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan.

BINTULU, 19 Feb: Penduduk di dua buah rumah panjang di sini memperolehi bekalan makanan dan keperluan asas selepas sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Labuan telah diaturgerak bagi melaksanakan misi bantuan penghantaran bekalan keperluan terbabit.

Dua rumah panjang tersebut iaitu Rumah Ugop Umpin dan Rumah Saba Mergi terputus bekalan makanan akibat sekatan pergerakan 14 hari yang dikenakan kepada penduduk di situ bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Misi bantuan tersebut merupakan usahasama TUDM bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak yang diwakilkan oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing bersama Kementerian Pertahanan.


Penghantaran bekalan barangan tersebut menggukan helikopter EC 725 AP dari No. 5 Skuadron melibatkan penghantaran sebanyak 2,880 kg bekalan makanan dan keperluan asas seperti beras, sardin, mi segera, telur, minyak diesel, gula dan garam.

Operasi yang diketuai Juruterbang, Mej Megat Suhaide bin Megat Daud TUDM dibantu oleh Pembantu Juruterbang, Kapten Shamie Hazim Samsu serta empat anggota lagi melakukan penerbagan penghantaran bekalan makanan serta keperluan asas yang diambil dari ambil pengumpulan barang bantuan di Lapangan Terbang Bintulu terus ke lokasi penempatan rumah panjang terbabit.

Misi yang bermula pada jam 10 pagi tadi telah selesai sepenuhnya sekitar jam 1.00 petang melibatkan 2 sortie penerbangan. -DayakDaily