Tubuhkan syarikat telekomunikasi sendiri untuk perkhidmatan lebih baik dan murah – Dr Hazland

Dr Hazland Abang Hipni

KUCHING, Nov 9: Sarawak dicadangkan menubuhkan syarikat pembekal telekomunikasinya sendiri bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan lebih murah kepada penduduk negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni, mencadangkan penubuhan syarikat terbabit walaupun sudah wujud persaingan dikalangan syarikat-syarikat telekomunikasi di negeri ini.

“Untuk menuju ke arah ekonomi digital, Sarawak memerlukan pembekal telekomunikasi tempatan sendiri dalam menyediakan perkhidmatan yang lebih baik dan murah,” katanya ketika sesi debat Belanjawan 2019 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.


Dr Hazland berkata, walaupun sudah ada syarikat pembekal telekomunikasi yang bersaing di negeri ini, persaingan terbabit tidak menyeluruh khasnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Misalnya, walaupun ada dibina menara telekomunikasi di kawasan luar bandar dan pedalaman, tiada satu pun pembekal diatas yang mahu menyediakan perkhidmatan telekomunikasi,” tambahnya.

Berikutan itu, beliau mencadangkan syarikat komunikasi tempatan sedia ada termasuk Danawa dan Sacofa menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi kemudahan rakyat Sarawak.

Selain itu, beliau juga mencadangkan kerajaan negeri mengambil alih Skim Saraan Nelayan kepada nelayan di negeri ini setelah kerajaan pusat memutuskan memberhentikan skim itu dalam Belanjawan 2019.

Ini kerana skim terbabit memastikan pendapatan nelayan tidak terputus semasa musim tengkujuh yang menyebabkan keadaan laut bergelora dan nelayan tidak boleh keluar menangkap ikan.

“Jesteru, dicadangkan kerajaan negeri membantu para nelayan dengan membiayai Skim Saraan Nelayan terbabit dengan mekanisma baru sekaligus membantu nelayan agar sumber pendapatan mereka tidak terputus,” katanya.

Dr Hazland berkata tindakan memberhentikan skim itu adalah keterlaluan dan tidak munasabah, kerana nelayan bertungkus-lumus menyediakan sumber makanan kepada rakyat tempatan. — DayakDaily