This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 3 Sept: Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) dan Kongress Kebangsaan Dayak (DNC) mahukan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengurus dan menyelia dana peruntukan sekolah daif di Sarawak.
Timbalan Presiden DTTAS Ricky Sani dan Presiden DNC Paul Raja menerusi satu kenyataan bersama hari ini berkata, ia perlu melibatkan Kerajaan Sarawak supaya program libat urus berjalan mengikut masa yang ditetapkan.
“Sarawak Negeri yang mempunyai banyak sekolah daif dan usang, wajar diberi perhatian segera oleh kerajaan untuk dinaik taraf.
“Keadaan kebanyakan sekolah rendah dan sekolah menengah amat menyedihkan dan sukar untuk digambarkan—atap kelas bocor, dinding reput menunggu masa untuk runtuh.
“Sekolah-sekolah tersebut masih lagi menggunakan generator sebagai bekalan elektrik utama,” kata mereka.
Menurut kenyataan itu, pembentangan Belanjawan Madani 2023 oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim menggariskan antara fokus utama untuk Kementerian Pendidikan (KPM) meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan guru serta murid-murid.
Kata mereka, Kementerian Pendidikan telah menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun sebelumnya.
“Peruntukan sebanyak RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 380 sekolah daif di seluruh negara, khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas selaras teras ke-enam KPM.
“Apakah status terkini 380 buah sekolah menengah dan sekolah rendah yang dikenal pasti sebagai daif dan dalam keadaan kritikal, khususnya di Sabah dan Sarawak?
“Kita ingin tahu pembaharuan yang telah dilakukan bagi menangani isu sekolah daif di Sarawak, penetapan projek pembangunan semula atau menaik taraf bangunan sekolah yang daif berdasarkan analisis skor gred impak,” ujar mereka lagi.
Justeru DTTA dan DNC menyeru agar Kementerian Pendidikan Malaysia mengutamakan sekolah daif di Sarawak dalam peruntukan Belanjawan 2024 dimana sekolah yang kritikal perlu dibaik pulih dengan segera.
Kedua-duanya mahukan pihak kerajaan menyediakan segala fasiliti, infrastruktur yang baik dan guru-guru berkualiti bagi memastikan mereka juga mampu mendapat pendidikan yang cemerlang, bukan sekadar akademik tetapi juga di dalam pencapaian lain. — DayakDaily