Transaksi S Pay Global capai RM1.68 bilion sejak ditubuhkan 4 tahun lalu

Kelihatan Zaidi (kanan) memberi penerangan kepada Amir (tengah) mengenai inovasi yang dibangunkan oleh SMA sambil diperhatikan oleh Aidi di Pejabat SMA di Kuching hari ini (30 Nov 2021).

KUCHING, 30 Nov: Transaksi S Pay Global capai RM1.68 bilion sejak ditubuhkan empat tahun yang lalu, kata Pengurus Besar Sarawak Multimedia Authority (SMA) Dr Zaidi Razak.

Menurut beliau, jumlah pengguna aplikasi S Pay Global menaik secara mendadak ketika pandemik Covid-19 melanda.

“Pengguna S Pay Global meningkat kepada 580,989 daripada sekurang-kurangnya 250,000 pengguna sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.


“Ini menyaksikan transaksi sebanyak RM1.68 bilion sejak ia ditubuhkan pada tahun 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan Setiausaha Persekutuan Dato Amir Omar ke pejabat SMA di sini hari ini.

Rombongan terbabit turut disertai Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Ujar Zaidi lagi, S Pay Global menjadi salah satu e-dompet paling ramai pengguna berbanding aplikasi yang lain.

Selain itu, katanya, dalam usaha SMA membangunkan bandar pintar, lebih 1,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) dipasang bagi tujuan pengawasan dan keselamatan.

“Kita juga berkongsi dengan pihak polis mengenai sebarang data untuk memudahkan anggota keselamatan menjalankan tugas mereka,” jelasnya. — DayakDaily