Tragedi Sungai Maaw: Kereta sudah dijumpai, usaha menaikkannya disambung esok

Lokasi kejadian.

SIBU, 8 Jan: Kereta yang dilaporkan terjatuh bersama dua lagi penumpangnya di Jeti Feri Tanjung Kunyit Sungai Maaw, di sini telah berjaya dikesan oleh pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kenderaan jenis Toyota Camry tersebut berjaya dikesan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 3.49 petang.

Sungguhpun begitu, usaha menaikkan kereta tersebut masih gagal sehingga jam 6.20 petang tadi.


“Komander operasi melaporkan ketika melakukan kerja-kerja menaikkan kereta tersebut, kabel di bahagian bawah telah putus dan kereta tersebut masih belum berjaya dinaikkan.

“Keadaan cuaca juga mula gelap dan air juga pasang menyukarkan pasukan PPDA membuat selaman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil perbincangan dengan pihak polis dan ahli keluarga mangsa kerja-kerja menaikkan kenderaan ditangguhkan dan akan bersambung keesokan pagi.

Dalam kejadian tersebut yang dilaporkan berlaku pada jam 7 pagi semalam, seorang mangsa, 38, dilaporkan berjaya menyelamatkan diri dan dua lagi mangsa iaitu seorang lelaki, 61, Dan seorang wanita masih belum dijumpai.

Operasi SAR dilancarkan selepas itu dengan turut disertai Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Sungai-Sungai dan orang awam. — DayakDaily