Tragedi pulang dari dusun durian, seorang lelaki dikhuatiri lemas

Anggota bomba bersedia melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Oleh Dean Adam

MARUDI, Dis 6: Perjalanan pulang sepasang suami dan isteri ke rumah panjang mereka dari dusun durian berakhirnya tragedi apabila si suami dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki mereka karam di Long Pilah, Sungai Baram dekat sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa, Lian Ngau, 55, dilaporkan hilang apabila dihanyut arus sungai yang deras selepas perahu yang dinaiki melanggar kayu sebelum karam.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya hanya menerima panggilan berhubung kejadian itu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi pada pukul 9.20 pagi.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Berdasarkan maklumat diterima, isteri mangsa selamat selepas sempat berpaut pada sebatang kayu yang hanyut.

“Namun, malang bagi mangsa apabila dia terus dibawa arus sungai yang deras sebelum kelibatnya hilang,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, jarak perjalanan ke lokasi kejadian adalah kira-kira lima jam sekiranya menggunakan jalan darat melalui jalan pembalakan iaitu dari Long Lama ke Long Miri.

Katanya, dianggarkan empat jam masa diperlukan sekiranya menggunakan pengangkutan sungai ke lokasi kejadian.

“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui lagi dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya. ā€” DayakDaily