MARUDI, Sept 27: Tiga termasuk dua wanita warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung sedalam 100 meter di Jalan Lio Matu, Baram, semalam.
Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia, iaitu pemandu, Kebing Pasang, 43, dan dua penumpang, Ubong Lah, 74, dan Tok Dop, 60.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata pihaknya baru menerima laporan kemalangan itu pada pukul 11.02 pagi ini.
Katanya, mengikut laporan diterima, kejadian dikatakan berlaku pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
“Kejadian itu berlaku semasa Toyota Hilux yang dipandu dari arah Kampung Lio Matu menuju ke arah Miri
“Malangnya, apabila tiba di lokasi kemalangan, kenderaan tersebut telah hilang kawalan semasa melalui satu jalan selekoh dan jatuh ke gaung sedalam lebih kurang 100 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, ketiga-tiga mangsa yang maut dibawa naik ke atas dengan bantuan orang kampung dan anggota Pasukan Gerakan Am Miri.
Ujarnya, mayat kesemua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily