TPM Zahid gesa Semenanjung, Sabah contohi Borneo Empurau Farm and Resort

Zahid ketika ditemui di Serian hari ini.

SERIAN, 11 Okt: Borneo Empurau Farm and Resort di Tarat, Serian seharusnya dicontohi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pelaksanaan pusat penternakan ikan empurau itu seharusnya dilaksanakan di negeri-negeri lain di Semenanjung dan Sabah.

“Saya membawa exco dan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah di Semenanjung untuk melihat sendiri bagaimana kawasan desa di transformasi.


“Ia bukan sahaja untuk projek ternakan ikan, pertanian, agro pelancongan dan pelancongan desa.

“Dan ini contoh yang baik yang boleh dibawa pulang ke negeri masing-masing untuk dilaksanakan,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke Borneo Empurau Farm and Resort hari ini.

Borneo Empurau Farm and Resort (BEFR) merupakan pusat akuakultur ikan empurau serta resort eko-agro yang dibangunkan pada 7 Mei 2015.

Lokasi terletak di Serian iaitu 53 kilometer jauh dari bandar Kuching dan kawasan projek ini berkeluasan 65 ekar.

Pusat akuakultur ini bertujuan untuk meningkatkan bekalan empurau liar yang semakin berkurangan di Sarawak.

Hasilnya, ia boleh meningkatkan pendapatan negeri Sarawak melalui eksport ikan ini ke pasaran luar negara seperti China, Taiwan, Jepun dan Eropah.

Sehingga kini, pusat ini telah membangunkan sebuah tempat persenyawaan yang mampu menghasilkan kira-kira 5,000 telur empurau setahun.

Terdapat juga akuarium pembiakan untuk 1,600 empurau dewasa, makmal R&D dan kemudahan latihan untuk bakal petani empurau.

Pelaksanaan Resort Eko-Agro Resort eko-agro ini bertujuan untuk menarik pelancong tempatan dan luar dengan menyediakan pengalaman eko-agro pelancongan yang unik.

Resort ini boleh menampung kira-kira 2,000 pengunjung pada satu-satu masa dengan 26 chalet dan rumah panjang 18 pintu.

Kemudahan dewan serbaguna berkapasiti 1,000 tempat duduk disediakan dengan restoren yang menghidangkan empurau halal, makanan tempatan dan hasil hutan.

Kawasan ini turut mempunyai taman tema mini air, kolam renang, zoo mini, pusat pananaman akuaponik, penternakan fertigasi, buah-buahan organik dan pertanian rumah hijau. — DayakDaily