Toyota Hilux jatuh dari feri, lelaki warga emas dikhuatiri lemas

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tenggelam bersama Toyota Hilux di Pangkalan Feri Kota Samarahan.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Mei 14: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas Toyota Hilux yang dipandu terjatuh dari feri di Pangkalan Feri Kota Samarahan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu, mangsa, Bernabas Lias Jalal, 77, dilaporkan hilang selepas tenggelam bersama Toyota Hilux yang dipandunya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan keluar dari kenderaan pacuan empat roda itu semasa berada di atas feri tersebut.

Advertisement

Bagaimanapun katanya, apabila menyedari Toyota Hilux miliknya tiba-tiba bergerak ke depan dia segera masuk semula ke dalam dipercayai untuk meletakkan brek tangan kenderaan pacuan empat roda itu.

“Malang menimpa mangsa apabila dia bersama kenderaan tersebut tenggelam ke dalam sungai di situ.

“Orang awam yang cuba membantu mangsa gagal sebelum mereka menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat itu telah dilakukan bersama pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta polis.

“Buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement