TLDM pelawa masyarakat umum melawat kapal latihan baru

KLGS berlabuh di Pelabuhan Pending, Kuching hari ini.
Advertisement

KUCHING, Feb 20: Penduduk di sekitar bandar raya ini dialu-alukan untuk mengunjungi Hari Terbuka Kapal Latihan Gagah Samudera (KLGS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pelabuhan Pending di sini esok.

Pegawai Memerintahnya, Komander Mahamad Nazir Darus berkata, hari terbuka tersebut bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk memeriahkan program tersebut disusuli dengan program jiwa murni keesokan harinya.

Advertisement

“Para pengunjung akan dibawa masuk ke dalam kapal tersebut untuk melihat sendiri peralatan serta keunikan yang ada dalam KLGS ini.

“Antara lain, kita berharap kunjungan para masyarakat tempatan di sini akan memberi pendedahan kepada pegawai dalam latihan iaitu seramai 20 orang pegawai muda yang dilatih bagi menjadi pegawai eksekutif dalam TLDM,” katanya ketika ditemui di Pelabuhan Pending di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahamad Nazir memberitahu, kapal tersebut kapal latihan pertama yang dimiliki TLDM dan aset terbaru yang pertama kali berlayar ke Malaysia Timur selepas hampir setahun beroperasi.

Katanya, KLGS telah berlayar dalam tempoh sebulan dari Lumut ke Kuantan, Kota Kinabalu, Sandakan dan ke Kuching hari ini sebelum berlepas ke Bintulu lagi.

“Berdasarkan rekod, KLGS telah berlayar lebih kurang 8,000 batu nautika di dalam mahu pun luar negara,” ujarnya lagi. ā€”DayakDaily

Advertisement