Tipu dirompak, kerana tidak mahu didenda JPN

Supt Merbin Lisa
Advertisement

KUCHING, 16 April: Polis telah menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang didapati membuat laporan palsu dengan mendakwa dia dirompak di belakang sebuah kedai di Jalan Rock sekitar jam 12.30 pagi pada 13 April.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata, suspek dipercayai membuat laporan tersebut untuk mengelakkan didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana telah tiga kali kehilangan MyKad.

“Hasil siasatan, didapati suspek kehilangan MyKad dan barang-barang lain semasa bergaduh dengan rakannya malam itu, kerana berlaku perselisihan faham disebabkan mabuk,” kata Merbin dalam satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Dalam laporan polis, suspek mendakwa dia cedera disebabkan oleh dua perompak yang menghampirinya dengan menunggang motosikal.

“Penipuan suspek bagaimanapun terbongkar setelah siasatan menyeluruh dilakukan pihak polis,” kata Merbin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu, yang membawa hukuman penjara enam bulan maksimum atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. ā€” DayakDaily

Advertisement