Tiong menggesa KKM menjalankan pemeriksaan ujian saringan Covid-19 di Sungai Plan, Bintulu

Datuk Seri Tiong King Sing

KUCHING, 21 Jan: Berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan Sungai Plan, Bintulu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu pada mesyuarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) petang tadi memutuskan agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemeriksaan ujian saringan Covid-19 dari rumah ke rumah memandangkan kawasan tersebut telah dikesan sebagai kawasan aktif kes (Active Case Detection) Covid-19.

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berkata tujuaan sebegitu harus dilakukan bagi mengesan serta menjejaki lebih ramai lagi mereka yang berisiko dijangkiti wabak tersebut.

Beliau difahamkan hasil keputusan saringan ujian calitan Covid-19 yang diadakan pada Selasa lalu mendapati seramai 10 individu dikesan positif Covid-19.


Difahamkan juga, seramai 500 individu yang mendiami kawasan Sungai Plan telah tampil menjalani pemeriksaan saringan (Covid-19).

Dalam pada itu, beliau terus menggesa orang ramai terutama dari kawasan Sungai Plan supaya menghadiri pemeriksaan saringan Covid-19 pada Jumaat dan Sabtu (22 dan 23 Januari, 2021) di Pusat saringan sementara di Balai Raya Sungai Plan.

“Sekiranya anda belum menjalani pemeriksaan saringan, jangan lepaskan peluang ini untuk diperiksa. Mari kita bekerjasama untuk membendung wabak Covid-19 ini,” kata Tiong dalam satu kenyataan hari ini.

Tiong, yang juga merangkap Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China, menegaskan bahawa pemeriksaan saringan sangat penting untuk mengekang penularan serta memutuskan rantaian wabak Covid-19 di negeri ini, khususnya di Bintulu.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial bagi memastikan proses saringan selamat untuk semua. — DayakDaily