Tiong gesa syarikat penerbangan sediakan perkhidmatan ‘charter’ ke Malaysia Timur

Tiong (fourth from left) at the launch of free tickets for over 5 million AirAsia passengers recently. Photo credit: Tiong's Facebook page
Advertisement

KUCHING, 14 Feb: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing menggesa syarikat penerbangan tempatan membuat penyelidikan dan membangunkan penerbangan khas ‘charter’ bagi laluan antarabangsa dan domestik ke atau dari Malaysia Timur.

Katanya, AirAsia dan syarikat penerbangan lain harus memikirkan cadangan ini kerana pelancong seperti warga China gemar melancong selain menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan.

“Diharapkan dengan adanya penerbangan ‘charter’ ini, ia dapat membantu mempromosikan Malaysia dengan lebih efektif.

Advertisement

“Ini khususnya bagi Sabah dan Sarawak yang kaya dengan warisan budaya serta alam semulajadi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi dalam laman Facebook beliau baru-baru ini.

Dalam pada itu, Tiong mengalu-alukan inisiatif AirAsia memperkenalkan penerbangan percuma sehingga 5 juta tiket ke destinasi dalam dan luar negara.

Tempahan tiket dibuka mulai 10 hingga 19 Februari bagi perjalanan antara 1 Mac hingga 10 Disember 2023.

“Selain menjadi pemain utama dalam menyokong industri pelancongan negara kita selama ini, AirAsia juga memainkan peranan penting dalam menghubungkan Malaysia dengan rangkaian penerbangan di ASEAN dan kawasan-kawasan lain,” kata Tiong. — DayakDaily

Advertisement