Tiong berhasrat memajukan Dudong yang juga kampung asal beliau

Dato Sri Tiong King Sing

KUCHING, 7 Dis: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N52 Dudong Datuk Seri Tiong King Sing berhasrat ingin memajukan Dudong yang merupakan kampung asal beliau.

“Saya bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) kali dengan tujuan dan harapan memajukan kampung asal saya.

“Marilah sama-sama kami berganding bahu membangunkan dan memajukan Dudong,” katanya menerusi hantaran di laman rasmi Facebook beliau.


Tiong yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) dan MP Bintulu yakin penstrukturan semula Dudong boleh membawa perubahan di kawasan tersebut.

Katanya, pembangunan boleh dicapai dengan perancangan yang teratur demi masa hadapan penduduk di Dudong.

“Inilah pertama kali saya bertanding dalam Pilihanraya Negeri Sarawak, dengan harapan diberi sokongan dan galakan untuk berkhidmat kepada anda.

“Undilah Tiong King Sing! Undilah GPS!” ujar beliau.

Selesai proses penamaan calon semalam, kerusi DUN Dudong menyaksikan pertandingan lapan penjuru antara GPS, DAP, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PDBSB) serta dua calon Bebas.

Tiong berdepan lima calon parti pembangkang iaitu Paul Ling Fong dari DAP, Wong Hie Ping (PSB), Julius Enchane (PBDSB), Jane Lau Sing Wee (PBK) dan Josephine Lau Kiew Peng (ASPIRASI).

Turut bertanding di Dudong ialah dua calon Bebas Engga Unchat dan Fadhil Mohamad Isa. — DayakDaily