KUCHING, 4 Nov: Seni persembahan dan muzik tradisional perlu dilihat sebagai komoditi yang mempunyai potensi dan nilai komersial tanpa menidakkan kepentingan menjaga keasliannya.
Menteri Perlancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perubahan paradigma diperlukan bagi memastikan tradisi seni persembahan muzik tradisional ini terus relevan sepanjang zaman.
Pengiat seni tersebut katanya, turut perlu menguasai kemahiran keusahawanan yang menjadi kunci kepada kejayaan dan kelangungan seni terbabit.
“Para pengiat seni perlu kreatif, bijak dan mahir dalam menghasilkan produk berasaskan elemen seni persembahan tradisional yang unik, segar dan menepati citarasa konsumer semasa,” katanya ketika membacakan ucapan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Majlis Anugerah Seniman Muzik Sarawak di sini malam ini.
Beliau berkata, walaupun masa kini dipenuhi dengan alunan muzik moden, golongan muda juga perlu mengenali seni warisan muzik serta alat muzik tradisional masyarakat majmuk di Sarawak supaya tidak pupus ditelan zaman.
Justeru, katanya, menjadi peranan semua pihak untuk terus berganding bahu memperjuangkan kelestarian warisan terbabit dalam memndepani cabaran globalisasi dan pasaran digital khususnya pengaruh budaya popular moden yang berpaksikan elemen budaya barat.
Ujar beliau, kerajaan sentiasa menyokong usaha walaupun hanya segelintir pihak yang berusaha untuk mengekalkan seni serta alatan terbabit agar ia terus dikenali masyarakat luar terutamanya golongan muda di Malaysia dan antarabangsa.
“Pada hemat saya sudah sampai masanya Sarawak menjadi pelopor dalam bidang seni, budaya dan warisan dimulai dengan seni muzik dengan melaksanakan pelan kepada generasi pelapis agar meneruskan legasi jati diri seni bagi melakar sejarah gemilang dengan cara yang kreatif dan kritis,” katanya.
Tambah Abdul Karim, semua pihak tidak kira kerajaan ataupun pengiat seni haruslah mempergiatkan lagi usaha promosi dengan pendengar dan peminat muzik tempatan supaya mereka (pendengar dan peminat) akan sentiasa menyokong industri muzik tempatan.
“Industri muzik tempatan perlu dinaikkan kerana sektor inj mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada negara jika hal ini diambil berat dan serius oleh masyarakat tempatan dan penggerak seni muzik tempatan,” katanya. — DayakDaily