SIMUNJAN, Sept 17: Tindakan pantas seorang wanita yang bertindak keluar dari rumah selepas menghidu bau asap ketika tidur berjaya menyelamatkan dirinya dalam satu kebakaran di Kampung Lalang Hilir di sini awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu mengakibatkan sebuah rumah setingkat berstruktur tidak kekal telah musnah terbakar 100 peratus.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan, Justin Basik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran di kampung berkenaan pada pukul 3.43 pagi.
Jelasnya, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan lapan anggota bomba dari BBP Simunjan telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Apabila tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar rumah kayu berkenaan.
“Pasukan bomba kemudian bertindak melakukan operasi memadam kebakaran sebelum berjaya api terkawal sepenuhnya pada pukul 4.15 pagi,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Justin memberitahu, pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita berusia 46 tahun yang mendiami kediaman tersebut selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun katanya, wanita berkenaan gagal menyelamatkan pelbagai barangan serta dokumen penting miliknya disebabkan api marak dengan cepat.
“Difahamkan, wanita berkenaan pantas keluar menyelamatkan diri sebaik menyedari rumahnya terbakar.
“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam siasatan,” ujarnya. — DayakDaily