Pemotong kayu dilaporkan hilang selepas gagal balik ke rumah

Anggota bomba dan penduduk kampung berusaha mencari mangsa.

BINTANGOR, Sept 17: Seorang pemotong kayu dilaporkan hilang selepas keluar memotong kayu di kawasan hutan Kampung Muara Lebaan di sini semalam.

Mangsa, Mohammad Tapa Napis, 55, dilaporkan tidak pulang ke rumahnya setelah keluar ke hutan pada pukul 8 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berkenaan daripada ahli keluarga mangsa iaitu Derwis Napis yang datang ke balai pada pukul 7.38 malam.


Menurutnya, sepasukan lima anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.

“Bagaimanapun, setakat ini mangsa masih belum ditemui,” katanya di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat yang diterima kata Nicholas, seperti kebiasaan apabila menjelang tengah hari mangsa akan balik ke rumah.

Namun ujarnya, sehingga kini mangsa belum balik dan usaha mencarinya telah dibuat oleh pasukan bomba, ahli keluarga mangsa bersama dengan penduduk kampung.

“Kita akan mengemaskini maklumat berhubung kes ini dari semasa ke semasa,” katanya. — DayakDaily