Tindakan pantas pihak sekolah berjaya selamatkan bangunan asrama dari musnah terbakar

Anggota bomba melakukan kerja-kerja memadam sisa-sisa kebakaran.

SERIAN, Mac 2: Tindakan pantas pihak sekolah mengawal kebakaran di sebuah bilik asrama berjaya menyelamatkan sebuah bangunan asrama yang menempatkan 286 pelajar di situ daripada musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.53 pagi itu, hanya sebuah bilik asrama yang menempatkan 14 pelajar lelaki yang terbakar, manakala yang selebihnya tidak terjejas.

Difahamkan juga, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kebakaran itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii memberitahu, Balai Bomba dan Penyelamat Serian menerima laporan berhubung kebakaran itu pada pukul 6.55 pagi.

Menurutnya, berdasarkan laporan yang diterima, kebakaran tersebut membabitkan sebuah bilik asrama jenis struktur kekal tiga tingkat.

“Lima anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam kemudian dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api.

“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran berjaya dikawal oleh pihak sekolah dengan menggunakan 35 unit alat pemadam api,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Keadaan bilik asrama yang terjejas akibat kebakaran.

Tiong menambah, pihak sekolah juga telah menggunakan satu aliran salur bantu mula dari bangunan sekolah berkenaan bagi memadam kebakaran itu.

Katanya, sepasukan tiga anggota pasukan bomba sukarela (PBS) Bunan Gega turut berada di tempat kejadian bagi membantu operasi itu.

“Siasatan awal mendapati, kebakaran dipercayai bermula dari tingkat satu asrama berkenaan.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut masih lagi disiasat,” katanya lagi. — DayakDaily