Tindakan pantas keluar dari kereta terbakar, selamatkan nyawa pemandu

Anggota bomba sedang memadam kebakaran melibatkan sebuah kereta di Jalan Stutong.
Advertisement

KUCHING, Jun 20: Tindakan pantas seorang pemandu keluar dari kenderaannya yang tiba-tiba terbakar berjaya menyelamatkan dirinya daripada sebarang musibah dalam satu kejadian di Jalan Stutong di sini malam tadi.

Kejadian cemas tersebut dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9.57 malam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Ismail Awang Eden berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.58 malam.

Advertisement

Jelasnya, sejurus menerima maklumat insiden, sepasukan 10 anggota bomba telah bergegas ke lokasi bagi melakukan kerja-kerja memadam kebakaran kereta berkenaan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah kereta sedang terbakar, manakala pemandu kenderaan import itu selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Pihak bomba kemudian melakukan kerja memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula sumber air. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.25 malam,” katanya di sini hari ini.

Ismail menambah, kenderaan milik mangsa itu telah musnah terbakar 100 peratus.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement