Gempar jumpa mayat terapung dalam parit

Anggota bomba membantu mengangkat mayat yang ditemui mati dalam parit.

BINTULU, Jun 20: Orang awam yang menetap di Jalan Sibiew di sini gempar dengan penemuan mayat tanpa identiti terapung di dalam sebuah parit di jalan tersebut awal pagi tadi.

Mayat yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui oleh orang awam sebelum pihak polis dihubungi untuk tindakan lanjut.

Jurucakap polis berkata, disebabkan agak sukar untuk mengangkat mayat itu, pasukan bomba telah dihubungi untuk membantu mengangkat mayat tersebut dari dalam parit setinggi kira-kira 1 meter.


Katanya, sepasukan anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mayat tersebut memasukkannya dalam beg mayat.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengangkat mayat itu dari dalam parit.

“Mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pihak polis juga meminta mana-mana saksi bebas untuk tampil ke hadapan membantu siasatan.

Katanya, segala butiran pemberi maklumat adalah dirahsiakan dan dilindungi dari aspek perundangan.

“Saksi tidak perlu takut dan risau dalam membantu pihak polis bagi menyelesaikan siasatan kes berhubung penemuan mayat itu.

“Polis juga memohon mana-mana individu yang hilang ahli keluarga mereka dalam masa terdekat ini supaya tampil ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.

Buat masa ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — DayakDaily