KUCHING, September 15: Tindakan pantas pasukan bomba bertindak berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas yang lumpuh, selepas kediaman yang didiami bersama ahli keluarganya di Kampung Cemerlang terbakar hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, wanita yang berusia 82 tahun tersebut telah diselamatkan oleh anggota bomba yang meredah masuk ke dalam rumah.
Komander Operasi Kanan, Azahar Dris berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.18 petang.
Katanya, sepasukan 19 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan BBP Batu Lintang kemudian bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang membakar bahagian bumbung dan siling sebuah rumah setingkat berstruktur jenis kekal.
“Pihak bomba kemudian bertindak membuat pemadaman masuk ke dalam bangunan menggunakan kelengkapan peralatan dan menyelamat,” katanya di sini hari ini.
Azahar menambah, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sembilan penghuni rumah berkenaan selamat termasuk wanita warga emas terbabit.
Katanya, api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 1.48 petang.
“Kesemua penghuni rumah tersebut juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya. — DayakDaily