Tindakan beku akaun bank suami gagal bayar nafkah bela nasib wanita

Fatimah (dua dari kanan) melancarkan Gerak Kerja Komuniti KRT 2022 di Dewan Suarah Samarahan.
Advertisement

SAMARAHAN, 22 Mac: Tindakan membeku akaun bank golongan suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri adalah untuk membela nasib wanita.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, ia akan memastikan bekas suami membayar nafkah mengikut perintah mahkamah.

“Kami sangat menyokong tindakan ini kerana banyak masalah yang dihadapi oleh wanita yang bercerai terutama bagi suami yang bekerja di sektor bukan kerajaan.

Advertisement

“Kalau suaminya di dalam sektor kerajaan, arahan untuk memotong gaji boleh dibuat dengan mudah.

“Tetapi bagi yang tidak bekerja di sektor kerajaan, walaupun ada perintah mahkamah diberikan supaya suami membayar nafkah, kita mendapati ada di antara suami tidak membayar nafkah, kadang-kadang ada bayaran,” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2022 di sini, hari ini.

Tindakan pembekuan akaun tersebut diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Kuala Lumpur pada Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Fatimah yakin arahan perdana menteri membantu untuk membolehkan potongan gaji dibuat terhadap suami yang bekerja di sektor bukan kerajaan.

Jika masalah ini tidak diatasi katanya, isteri yang di cerai terpaksa menyara anak-anak yang masih kecil dan ia adalah satu bebanan bagi mereka.

“Kalau suami ingkar perintah mahkamah, yang menanggung bebanan adalah isteri dan anak anak,” tegas Fatimah. — DayakDaily

Advertisement