Timbalan Premier: RM200 juta bagi menjalankan program pembangunan di Bukit Saban

Uggah (tiga dari kiri) meninjau projek di sebuah kawasan di Bukit Saban. Foto: Ukas

KUCHING, 9 Jan: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah dikenali sebagai kerajaan yang stabil dan kuat.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelantikan lima Menteri dan enam Timbalan Menteri daripada kalangan wakil rakyat GPS akan menjadi penghubung antara kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak.

“PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) telah berakhir dengan lancar dan baik. Namun, apa yang penting selepas ini, kita harus terus memperkasakan parti kita.


“Bermula dengan memperkasakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu sendiri dan seterusnya parti GPS.

“Ia adalah satu proses yang berterusan bermula di peringkat akar umbi,” katanya.

Uggah berkata demikian dalam Majlis Penghargaan Jentera PRU-15, Majlis Sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru 2023 Peringkat DUN Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh pada Ahad (8 Jan).

Sementara itu, beliau berkata Bukit Saban akan mempunyai dana baharu berjumlah RM200 juta bagi menjalankan program pembangunan di kawasan itu.

“Kita masih di dalam proses memperhalusi projek pembangunan yang akan membawa impak yang tinggi kepada rakyat,” katanya.

Uggah tiba di Dewan Masyarakat Spaoh. Foto: Ukas

Terdahulu pada sebelah petang, Uggah berkesempatan melakukan ‘walkabout’ di sekitar kawasan Bukit Saban untuk meninjau program dan projek kerajaan di peringkat komuniti selain menyantuni penduduk setempat.

Lokasi pertama disinggahi beliau adalah di Rumah Kedit Bedin, Raba Tiput, Layar, Betong bagi meninjau program Sistem Tagang di Sungai Tiput dan mendengar beberapa cadangan keperluan projek infrastruktur yang dibangkitkan oleh para penduduk.

Manakala lokasi kedua ialah di Rumah Mubok Juli, Tanjung Paoh, Layar, Betong di mana beliau meninjau Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kerja-kerja naik taraf infrastruktur di bahagian hadapan rumah panjang tersebut yang sedang berjalan.

Uggah mengakhiri tinjauan, beliau turut melawat Rumah Richard Kadir, Melabu, Layar, Betong. — DayakDaily