Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu

PDRM logo

KUCHING, 27 Mac: Polis Kontinjen Sarawak bakal diterajui Pesuruhjaya Polis yang baharu iaitu Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri.

Setiausaha Polis Malaysia Dato’ Ruslan Khalid melalui senarai pertukaran pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu Mohd Azman yang kini memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan memangku pangkat Komisioner Polis (CP).

Katanya, beliau akan menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak mengantikan Dato Mancha Ata yang kini memangku jawatan tersebut sejak 21 Februari lepas.

Sebelum ini Pesuruhjaya Polis Sarawak adalah Dato’ Aidi Ismail yang kemudian berpindah sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK ) Bukit Aman.


Selain Pesuruhjaya Polis yang baharu, terdapat juga pertukaran membabitkan beberapa pegawai kanan polis dan ketua-ketua jabatan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Antaranya ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), ACP Jasmirol Jamaluddin yang akan digantikan oleh Ketua JSJN Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah.

Manakala Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Supt Alexson Naga Chabu juga dinaikan pangkat ACP dan akan menjadi Ketua Polis Daerah Miri.

Jawatan beliau sebagai Ketua JSPT Sarawak akan digantikan oleh Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Bingkok John yang dinaikan pangkat kepada Supt.

Kesemua pertukaran tersebut difahamkan berkuatkuasa 25 April ini. — DayakDaily