KUCHING, 28 Nov: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Roland Engan merayu campurtangan Kementerian Pengangkutan untuk berbincang dengan syarikat penerbangan seperti MAS dan AirAsia tentang keadaan harga tiket yang melambung tinggi.
Katanya, kenaikan harga tiket bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke beberapa destinasi di negeri ini naik sejak operasi MYAirline berhenti.
“Ramai di kalangan rakyat yang mulai terhalang untuk kembali ke Sarawak daripada Semenanjung Malaysia pada musim cuti dan perayaan Krismas serta Tahun Baru.
“Ini berikutan harga tambang penerbangan yang tinggi sehingga mencecah lebih RM1,000 sehala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Roland, PKR bersama dengan rakyat Sarawak merasai keperitan harga tiket penerbangan daripada Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri ke Kuala Lumpur dan sebaliknya.
Katanya, perhatian Kerajaan Perpaduan khususnya Kementerian Pengangkutan bagi menangani isu ini sangat dihargai. — DayakDaily