Tiga wanita China edar dadah dicekup

Kelihatan pelbagai jenis dadah yang dirampas oleh polis.
Advertisement

KUCHING, April 19: Tiga wanita warga China dicekup malam kelmarin selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sini.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan itu dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dan mereka berusia antara 28 hingga 33 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sarawak, Supt. Sahar Abd. Latif berkata, serbuan dan tangkapan pertama suspek dilakukan di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Jugah di sini pada pukul 7.30 malam.

Advertisement

Jelasnya, lanjutan daripada penahanan suspek itu, polis kemudian menjalankan serbuan kedua di sebuah kondominium di Jalan Stampin Tengah di sini dan berjaya memberkas dua lagi rakan senegara suspek pertama.

“Sebelum melakukan serbuan, polis telah menerima maklumat awam berhubung kegiatan haram yang dijalankan oleh ketiga-tiga suspek.

“Anggota polis dari JSJN juga telah melakukan risikan serta intipan terhadap suspek-suspek terbabit sejak kira-kira dua bulan lalu,” katanya di sini hari ini.

Sahar menambah, hasil serbuan dan tangkapan itu, polis telah merampas pelbagai jenis dadah iaitu ekstasi, ganja dan ketamin.

Katanya, jumlah rampasan dadah tersebut dianggarkan sebanyak RM38,000.

“Polis juga menyita sebuah Toyota Wish dan merampas wang tunai berjumlah RM18,146 disyaki hasil kegiatan jenayah suspek terbabit.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement