Tiga tersepit dalam nahas dua kenderaan

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

LIMBANG, Julai 1: Lapan individu terselamat selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Kampung Sungai Poyan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, tiga mangsa yang menaiki Perodua Rusa tersepit, manakala tiga yang lain cedera ringan.

Bagaimanapun, dua mangsa yang menaiki Mitsubishi Pajero tidak mengalami sebarang kecederaan.

Advertisement

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Zakaria Matnor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.45 pagi.

Kelihatan keadaan di lokasi kemalangan melibatkan dua buah kenderaan.

Katanya, sejurus menerima laporan mengenai kejadian itu, sepasukan enam anggota bomba dikerahkan ke tempat kemalangan untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

“Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Limbang untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Zakaria menambah, operasi itu tamat sepenuhnya selepas pasukan bomba mendapati keadaan di kawasan kemalangan adalah selamat kepada pengguna jalan raya yang lain. — DayakDaily

Advertisement