Tiga rumah dan kenderaan musnah terbakar, dua kediaman lagi terjejas 50 peratus

Pasukan bomba sedang melakukan operasi memadam kebakaran.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 20: Lima keluarga hilang tempat tinggal selepas lima buah rumah di Jalan 12A4, RPR Batu Kawa di sini musnah terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.17 petang itu, tiga buah rumah telah terbakar 100 peratus, manakala dua lagi terjejas kira-kira 50 peratus.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kejadian sama juga mengakibatkan tiga buah kenderaan milik penghuni rumah berkenaan musnah terbakar.

Bagaimanapun katanya, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

“Sebelum itu, kami menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.18 petang.

“Sejurus itu, 31 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, BBP Padungan dan BBP Tabuan Jaya bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran,” katanya di sini hari ini.

Tiong (tengah) memberi penerangan kepada Dr Sim (baju kuning) tentang operasi memadam kebakaran di RPR Batu Kawa.

Tiong menambah, buat masa ini jumlah penghuni yang terjejas akibat kebakaran itu masih dalam proses siasatan.

Katanya, kebakaran tersebut terkawal sepenuhnya pada pukul 5.18 petang.

“Kita juga masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu,” jelasnya.

Turut berada di lokasi semasa kejadian itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa, Datuk Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily

Advertisement