Tiga penunggang motosikal lakukan aksi merbahaya ditangkap

Ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

SIBU, 9 Jan: Dua penunggang motosikal, termasuk seorang remaja berusia 16 tahun, ditangkap kerana melakukan aksi merbahaya di Jalan Tun Ahmad Zaidi Edruce.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua lelaki terbabit ditahan dalam operasi Ops Samseng Jalanan dari jam 10 malam tadi hingga 3.30 pagi ini.

“Suspek pertama berusia 20 tahun dan dia ditangkap selepas melakukan aksi menundukkan kepala dan tunggangan yang amat merbahaya diri sendiri.

“Manakala remaja lelaki terbabit telah melakukan aksi mengangkat tayar hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek kemudian dibawah ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Sibu untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya juga, sebanyak 13 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi tersebut.

Sementara itu di Kuching, JSPT turut menjalankan operasi yang sama dan seorang lagi penunggang motosikal ditangkap juga kerana melakukan aksi merbahaya.

“Suspek berusia 19 tahun dan dia ditahan kerana melakukan aksi ‘superman’ di Masja, Kuching,” katanya.

Dalam operasi di Kuching, sebanyak 4 keping saman dikeluarkan.

Operasi seumpama itu akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. ― DayakDaily