Tiga penganggur disyaki terlibat dalam kegiatan dadah ditangkap di Bau

Suspek-suspek yang ditangkap.

BAU, 16 Jan: Tiga penganggur ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam dua serbuan berasingan di Kampung Plaman Skiat dan Bogag, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, meskipun menganggur, ketiga-tiga suspek masih mampu untuk mendapatkan bekalan dadah apabila ujian saringan air kencing mengesahkan mereka positif dadah.

Katanya, malah dua daripada suspek berusia 19 dan 21 tahun turut ditangkap memiliki dadah yang dianggarkan bernilai sekitar RM240.


“Suspek pertama berusia 23 tahun ditangkap di tepi jalan Kampung Plaman Skiat pada jam 10.30 pagi dan semasa disoal siasat, dia mengaku ada mengambil dadah menyebabkan dia kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

“Manakala dua lagi suspek ditangkap di sebuah rumah di Kampung Bogag, di mana pasukan operasi berjaya menemui satu paket plastik berisi dadah di dalam beg sandang suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, ketiga-tiga suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dua lagi suspek juga disiasat di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki dadah.

Kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika disabitkan kesalahan. — DayakDaily