Tiga pemain tenis Sarawak terkandas di Amerika Syarikat dalam keadaan sihat

(Dari kiri) Hii Shieng Wee, Tan Lin Xin dan Tan Lin En bersama jurulatih mereka di Amerika Syarikat.
Advertisement

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 20 Mar: Tiga pemain tenis SUKMA Sarawak yang sedang menjalani latihan di Amerika Syarikat ketika ini berada dalam keadaan sihat.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew ketika mengesahkan perkara itu memberitahu pemain terbabit ialah Hii Shieng Wee, Tan Lin En dan Tan Lin Xin.

Advertisement

Menurut Patrick, pihaknya sentiasa berhubung dan bertanya khabar mengenai tahap kesihatan kesemua atlet berkenaan setiap hari.

“Ketiga-tiga pemain ini sihat dan bebas sebarang masalah yang tidak diingini.

“Malah, kita juga sentiasa berhubung selain turut mengingatkan mereka agar menjaga kebersihan diri pada setiap masa,” kata Patrick ketika dihubungi hari ini.

Katanya, ketiga pemain terbabit terbang ke Amerika Syarikat pada 6 Mac lalu sebelum kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu.

Program latihan selama tiga bulan setengah di Amerika Syarikat itu mendapat sokongan dari Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Ditanya sebarang perancangan SLTA untuk membawa balik kesemua tiga pemain berkenaan, Patrick memberitahu belum ada perancangan ke arah itu.

“Tambahan pula keadaan mereka di sana (Amerika Syarikat) selamat berbanding di sini. Lebih baik mereka terus kekal di sana.

“Lain pula jika berlaku sebarang masalah yang tidak diingini, mungkin kita akan memikirkan langkah ke arah itu,” tambah beliau lagi.—DayakDaily

Advertisement