Covid-19: Atlet negara Jackie Wong semakin pulih

Jackie menunjukkan gambar terkininya ketika sedang menjalani tempoh kuarantin di Hospital Sibu.

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 20 Mar: Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cher yang menggemparkan arena sukan negara kerana muncul atlet pertama disahkan positif wabak koronavirus (Covid-19) semakin menunjukkan tanda pulih.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur yang sedang menjalani kuarantin di Hospital Sibu sejak lima hari lalu memberitahu keadaannya kini semakin baik.


“Saya berasa semakin baik dalam dua hari ini, sakit tekak dan batuk juga semakin berkurangan. Cuma saya masih berasa agak letih apabila menaiki tangga.

“Hari ini hari kelima saya menjalani kuarantin di Hospital Sibu,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Atlet berusia 28 tahun itu berkata beliau tidak tahu berapa lama lagi akan dikuarantin kerana perlu menjalani dua lagi ujian.

Katanya, beliau akan dibenarkan pulang jika dua ujian berkenaan menunjukkan keputusan negatif.

Tegas Jackie lagi, fokus beliau ketika ini hanya untuk memulihkan dirinya dari wabak yang telah meragut lebih 10,000 nyawa di seluruh dunia ketika ini.

“Saya tidak memikirkan apa-apa perancangan lain kerana fokus utama ketika ini hanya untuk memulihkan diri saya sepenuhnya dari wabak ini.

“Saya amat risaukan keluarga saya terutama ibu ketika dimaklumkan pihak hospital. Saya juga memohon maaf kepada rakan-rakan yang kontak rapat dengan saya,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Jackie turut memberitahu keadaan ayahnya, Wong Ling Biu Andrew yang merupakan Ahli Parlimen Sarikei juga semakin pulih.

Wong dimasukkan ke Hospital Sibu pada 14 Mac sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) bagi Covid-19.

Nama Jackie cukup gah di rantau Asia Tenggara sebagai jaguh baling tukul besi tersohor negara dan merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan jarak 68.22 meter.—DayakDaily