Tiga Pati diusir dan enam lagi ditahan di Lubok Antu

Tiga Pati warga Indonesia yang diusir dalam operasi tersebut.
Advertisement

LUBOK ANTU, 22 Feb: Anggota Tentera Darat berjaya mematahkan cubaan sembilan pendatang asing tanpa izin (Pati) memasuki negeri ini secara tidak sah menerusi dua serbuan berasingan pada semalam dan hari ini.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Satu Divisyen berkata terdahulunya anggota bertugas untuk penugasan Serkap berjaya mengesan tiga orang lelaki mencurigakan di ladang kelapa sawit kawasan sektor Pos Gabungan Bersama (GABMA) Malaysia dan Indonesia, di sini sekitar jam 9.30 malam semalam.

Katanya, anggota terus menahan ketiga-tiga lelaki terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mereka berumur lingkungan 21 hingga 30 tahun dan didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Advertisement

“Tiada barang terlarang dijumpai dan tujuan tujuan mereka datang ke Malaysia adalah untuk mendapat pekerjaan.

“Kesemua mereka dibuat pengusiran selepas laporan polis dibuat di Ibu Balai Polis Lubok Antu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara dalam serbuan kedua, anggotanya telah menahan sebuah kenderaan mencurigakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu kira-kira jam 12.30 pagi hari ini.

Seorang tekong dan enam Pati warga Indonesia ditahan di ICQS Lubok Antu.

Hasil pemeriksaan mendapati kereta tersebut dipandu seorang lelaki warga tempatan dipercayai tekong membawa enam warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan berumur lingkungan 30 hingga 55 tahun.

Jelasnya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Antu dan kesemua yang ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — DayakDaily

Advertisement