KUCHING, 10 Nov: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan sebuah Vesel Nelayan Asing dari Indonesia pada pukul 5.30 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Mohd Khairol Anuar dalam satu kenyataan berkata, penahanan dibuat dalam satu operasi risik pada kedudukan 49 batu nautika dari barat laut Tanjung Payong.
“Hasil pemeriksaan mendapati ketika penahanan dibuat, bot terbabit sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan dalam Zon Maritim Malaysia,” katanya.
Menurut Mohd Khairol, bot bersama tiga kru termasuk nakhoda dalam lingkungan umur 22 hingga 38 tahun ditahan.
Bot seterusnya diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PVT) Miri untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia. — DayakDaily