SRI AMAN, 26 Mei: Tiga individu disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua kereta di jalan berdekatan kuari Maruk, Jalan Sri Aman-Engkilili dekat sini, semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa-mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Pauline Simba Jua, Carlos Nelson dan Elizabeth Jua.
Katanya, ketiga-tiga mangsa bersama seorang lagi mangsa dikatakan menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva.
“Mangsa dikenali sebagai Pauline dan Carlos (pemandu) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Elizabeth meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Engkilili.
“Seorang lagi mangsa dalam kenderaan yang sama turut mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara tiga lagi mangsa yang menaiki sebuah kereta Proton Saga juga mengalami cedera parah.
Mangsa-mangsa yang tidak tersepit dikeluarkan oleh orang awam sebelum kehadiran bomba dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sementara dua mangsa yang merupakan pemandu dan penumpang hadapan (Perodua Viva) serta dua lagi mangsa dari Proton Saga yang tersepit dikeluarkan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman,” katanya.
Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.38 petang.
Susulan itu, anggota dari BBP Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian. — DayakDaily