Tiga lelaki ditangkap disyaki terlibat curi kenderaan 

Ketiga-tiga suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

KUCHING, 28 Dis: Seramai tiga lelaki ditangkap kerana dipercayai terlibat kegiatan mencuri kenderaan di sekitar daerah Kuching pada 26 Disember baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata ketiga-tiga suspek ditangkap dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Gersik, Gita sekitar jam 1.40 petang kelmarin.
Katanya, anggota Op Lejang yang melakukan serbuan tersebut telah menemui semula dua kenderaan iaitu sebuah kereta dan motosikal yang dilaporkan hilang di Padungan dan Satok.
“Ketiga-tiga suspek kemudian direman di bawah peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula untuk siasatan lanjut dan mengenalpasti penglibatan mereka dalam kes-kes lain.
“Dua kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun keseksaan dan jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya juga, semakan turut mendapati suspek pertama yang berusia 30 tahun mempunyai 5 rekod jenayah lampau, suspek kedu yang berusia 36 tahun mempunyai tiga rekod lampau dan suspek ketiga,37 tahun mempunyai 9 rekod jenayah.
“Pihak polis mengalu-alukan sebarang info berkaitan jenayah atau orang-orang mencurigakan di kawasan sekitar untuk dilaporkan kepada pihak polis di talian 082-244444 atau balai polis berhampiran,” katanya. – DayakDaily